2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Untuk makluman, blog ini masih aktif walaupun tidak ada sebarang update dilakukan. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, anda dialu-alukan untuk menghantarnya dengan menekan link ini tanya Cikgu Lynn

[12] SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT MENEMPUH TAHUN 2016

Assalamualaikum WBT & selamat sejahtera kepada semua pelajar.
Entri kali ini merupakan tulisan terakhir daripada cikgu sebelum kita melangkah ke tahun baru 2016.
Di kesempatan ini, cikgu ingin meminta maaf seandainya ada terkasar bahasa dan tersalah kelakuan terhadap pelajar-pelajar sekalian di sepanjang tahun 2015. Cikgu berharap agar pelajar sekalian akan meneruskan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Sekiranya mempunyai kesulitan, pelajar dialu-alukan untuk berjumpa dengan cikgu di bilik guru-guru.







WITH LOVE,
Cikgu Linn.

[11] CARA MENUKARKAN AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera kepada para pelajar. Di sini ada cikgu lampirkan nota tambahan teknik/cara menukarkan ayat aktif dan ayat pasif.
*Fahami dengan teliti.







[10] TOPIK ULANGKAJI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN - OKTOBER 2015

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pelajar sekalian. Topik ulangkaji untuk Peperiksaan Akhir Tahun 2015 adalah seperti dinyatakan di bawah ini.

BAHASA MELAYU TAHUN 7 - KERTAS I
Masa : -
Markah keseluruhan : 100

Arahan soalan: Jawab 3 soalan sahaja; SATU daripada Bahagian A, SATU daripada Bahagian B, dan SATU daripada Bahagian C.

BAHAGIAN A (40 Markah) - KARANGAN 
Pilih satu tajuk daripada tajuk-tajuk karangan yang diberikan; panjangnya tidak kurang 180 patah perkataan.
- Karangan menyambung cerita/Karangan jenis pengalaman/Karangan jenis pendapat/Karangan jenis gambaran dan sebagainya.

BAHAGIAN B (30 Markah) - KARANGAN BERFORMAT
Pilih satu tajuk daripada tajuk-tajuk yang diberikan; panjangnya tidak kurang daripada 100 patah perkataan.
- Surat Kiriman Tidak Rasmi/Karangan Pendek (jenis berita).

BAHAGIAN C (30 Markah) - RUMUSAN
Panjang huraian rumusan hendaklah lebih kurang 80 patah perkataan.
- Carta Pai sahaja.
----------------------------------------------------------------------------

BAHASA MELAYU TAHUN 7 - KERTAS II
Masa : 1 jam 30 minit
Markah keseluruhan : 100

BAHAGIAN A (20 Markah)
Soalan - Fahaman + Beri maksud perkataan -15 markah
                  - Soalan Pelajaran Jawi - isikan tempat kosong (jawapan disediakan) -5 markah
                 
BAHAGIAN B (20 Markah) - RINGKASAN
Buat satu ringkasan yang panjangnya kira-kira 70 patah perkataan sahaja.

BAHAGIAN C (50 Markah) - TATABAHASA
MCQ - 10 soalan (KGN, KSn, Kata bilangan, kata ganda, kata tanya, kata seru) -10 markah
MCQ Soalan Kata bilangan - 6 markah
Tukarkan ayat kepada ayat pasif/ayat aktif - 5 markah
Soalan perkataan berlawan (antonim) - 5 markah
Menukar cakap ajuk kepada cakap pindah - 10 markah
Gabungkan dua ayat menjadi satu (ayat majmuk) - 4 markah
Soalan petikan pendek - imbuhan -10 markah


BAHAGIAN D (10 Markah) - PERIBAHASA
Isikan tempat kosong dengan jawapan yang sesuai. * Jawapan disediakan dalam kotak.
Peribahasa + Perambahan Brunei.
(Terdapat 10 soalan untuk bahagian D)

*PERINGATAN: Hanya 10 soalan akan dikeluarkan dari kesemua topik di bawah ini.
Ulangkaji topik bertarikh:
Simpulan bahasa - 4/2/2015
Perambahan Brunei - 11/2/2015
Perumpamaan - 18/2/2015
Bidalan - 29/4/2015


------------------------------------------------------
Markah keseluruhan diambil dari kertas peperiksaan sahaja. Tidak ada markah yang diambil dari coursework pelajar.
Kebanyakan nota terdapat dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 7. Sekiranya pelajar perlukan nota tentang topik-topik tertentu, pelajar bolehlah merujuk dalam internet. Sebarang pertanyaan : boleh bertanya terus kepada cikgu sewaktu sesi persekolahan.

Sekian untuk makluman.





[9] ULANGKAJI UNTUK SASCAT 3 - OGOS 2015

[[TERKINI 25/8/2015]]

SASCAT 3 - BAHASA MELAYU
TAHUN 7
Masa: 1 Jam
Jumlah Markah: *60

* HANYA ADA SOALAN KARANGAN SAHAJA.

Pilih satu tajuk sahaja. Kemudian tulis satu karangan dengan sekurang-kurangnya 180 patah perkataan.
- Ada 5 tajuk (Karangan jenis bebas, karangan jenis pendapat, karangan jenis menyambung cerita dsb).
- Banyakkan membaca majalah dan tentang isu-isu semasa (contohnya tentang kebaikan sesuatu).
- Setiap latihan yang diberikan sewaktu ulangkaji, sila dibuat (untuk kepentingan pelajar sendiri).

------------------------
*Markah bagi SASCAT 3 akan dikemas kini secepatnya (Sama ada masih 60 markah atau berlainan)
Markah selebihnya akan diambil daripada coursework.

Sekian untuk makluman.
[Cg. Linn]

[8] MINGGU ULANGKAJI & TOPIK YANG PERLU DIBACA

Dikemas kini: 19-5-2015, Selasa.

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera kepada semua pelajar. Sila ambil perhatian.
Bermula 19/5/2015 hingga 1/6/2015 kita akan mula mengulangkaji topik-topik yang akan dikeluarkan untuk SASCAT 2*.

Pelajar hanya perlu membawa Buku Kerja Bahasa Melayu Tahun 7 di sepanjang tempoh berkenaan, kecuali jika ada arahan lain diberikan. Pelajar juga diminta untuk mengambil perhatian sewaktu sesi ulangkaji dan bertanya mana-mana soalan yang tidak difahami. Elakkan daripada bercerita kosong sewaktu sesi penerangan serta jangan berbuat bising.
---------------------------------------------------------
Tarikh Ujian SASCAT 2 : 3 JUN 2015, RABU
Masa: 1 Jam dan 30 Minit
Markah: 100% (Kemudian akan dijadikan/ convert ke 60 markah. Markah selebihnya iaitu 40 markah akan diambil dari course work).
Arahan = JAWAB SEMUA SOALAN

TIP: JAWAB SOALAN YANG MUDAH DAHULU. PELAJAR HARUS BIJAK MEMBAHAGIKAN MASA UNTUK MENJAWAB KESEMUA BAHAGIAN.

BAHAGIAN A - RUMUSAN (30 MARKAH)
Rumusan jenis Carta Pai (Ada peratus / %)

Tips:
- Baca arahan dengan teliti.
**Dalam rumusan perlu ada pendahuluan, isi tersurat dan isi tersirat serta kesimpulan**
- Kenal pasti item yang memiliki peratus tertinggi hingga yang terendah.
- Huraikan setiap item mengikut urutan (dari yang tahap tinggi hingga rendah).
- Setelah menulis kesemua isi, kira jumlah patah perkataan. 
- Jika belum sampai 80 patah perkataan, huraikan pula mengapa sesuatu item itu mendapat peratus tertinggi + mengapa mendapat peratus terendah [Gunakan pendapat kamu sendiri untuk menulis huraian ini. Berikan pendapat/fakta yang berkaitan dengan keadaan realiti/ pendapat yang boleh diterima].
- Periksa ejaan dan ayat yang ditulis. Pastikan tidak ada kesalahan. Jangan lupa untuk menulis jumlah patah perkataan rumusan yang dibuat.
- Tulis rumusan sekurang-kurangnya 80 ke 85 patah perkataan sahaja (Dalam satu perenggan). Jika terlebih, markah akan dipotong.


BAHAGIAN B - KEFAHAMAN (10 MARKAH) - Tidak ada soalan Jawi
Kefahaman tentang buah-buahan (ada 5 soalan sahaja)

Tips:
- Baca petikan teks dengan teliti dan fahami.
- Kenal pasti kehendak soalan melalui kata kunci, contohnya 'Nyatakan', 'Apakah', 'Berikan perbezaan'.
- Kebanyakan jawapan ada dalam petikan teks [kecuali bagi soalan yang memerlukan kamu 
memberikan pendapat sendiri].
- Jawab dengan menggunakan ayat lengkap. Contohnya:
 "Apakah kegunaan-kegunaan buah durian?" --> Kegunaan-kegunaan buah durian ialah...


BAHAGIAN C - TATABAHASA (50 MARKAH)
♥ Baca topik 'Jenis-Jenis Ayat', contohnya: 'Di mana sampah itu ayah?' --> Ayat Tanya.
♥ Baca topik 'Subjek dan Predikat' + 'Pola-Pola Ayat'

Contohnya:
Arahan soalan: Tulis 'subjek dan predikat', kemudian nyatakan pola ayatnya.
9.      Awang Khairul mengutip pingat emas.

Jawapan:
Subjek             : Awang Khairul
Predikat           : mengutip pingat emas
Pola                 : FN + FK

♥ Baca topik 'Kata Ganda' (Jawapan disediakan dalam kotak - Pilih jawapan yang sesuai dan isikan di tempat kosong).


BAHAGIAN D - PERIBAHASA (10 MARKAH)
Ada 10 Peribahasa (Simpulan bahasa dan sebagainya). 
Jawapan disediakan - Pilih simpulan bahasa yang sesuai untuk melengkapkan ayat yang diberikan.
Contohnya:
Otak ambuyat, pasar gelap, hangat-hangat tahi ayam, kalah membeli menang memakai, karak wayang.

---------------------------------------------------------


Sekian untuk makluman.
P/s: Sila rujuk Buku Teks bagi topik-topik ulangkaji yang dinyatakan.
[Cg. Linn]

[7] PERADUAN MENULIS RENCANA DAN MELUKIS POSTER SEMPENA SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2015

 [STATUS: DITUTUP]

Assalamualaikum WBT dan selamat sejahtera kepada semua pelajar.
Seperti yang tertera pada tajuk di atas, cikgu ingin memaklumkan tentang peraduan menulis rencana sempena Hari Air Sedunia 2015 (yang disambut pada 22 Mac setiap tahun).

Tujuan peraduan adalah untuk menyemai dan mencungkil bakat-bakat penulisan dalam kalangan penuntut, serta memberikan kesedaran kepada mereka tentang kepentingan untuk berjimat dalam penggunaan air. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur (Jabatan Kerja Raya, melalui Jabatan Perkhidmatan Air) menjemput pelajar sekolah menengah di seluruh negara untuk menyertainya mengikut kategori masing-masing:

KATEGORI A (Penuntut Tahun 7 - 8)
- Pemenang Pertama : Wang Tunai BND 250
- Pemenang Kedua   : Wang Tunai BND150
- Pemenang Ketiga   : Wang Tunai BND 100

Panjang Karangan 
300 - 400 patah perkataan

Syarat dan Peraturan
  • Terbuka kepada penuntut yang terdiri daripada Rakyat KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
  • Penuntut Tahun 7 hingga Tahun 11 bagi Sekolah Menengah seluruh Negara.
  • Peraduan ini dibukakan mengikut katergori seperti di bawah:
         KATEGORI A (Penuntut Tahun 7 - 8)           : 300 - 400 patah perkataan
         KATEGORI B (Penuntut Tahun 9 - 11)         : 400 - 500 patah perkataan

  • Setiap peserta hanya dibenarkan untuk mengemukakan SATU (1) BUAH RENCANA sahaja, dan belum pernah tersiar dalam media masa atau media elektronik baik di dalam atau di luar negara (Rencana penuntut hendaklah hasil karya sendiri, bukan hasil tulisan orang lain).
  •  Pilihan tajuk adalah seperti berikut:
  1. "Air dan Pembangunan Mapan"
  2. "Jimat Air Amalan Mulia"
  •  Isi rencana hendalah bersifat umum, dan tidak bertentangan dengan dasar Kerajaan KDYMM dan tidak bertentangan dengan falsafah Melayu Islam Beraja.
  • Cara Penulisan:
  1.  Ditulis dalam Bahasa Melayu sahaja (dengan ejaan yang betul dan terkini).
  2. Ditaip menggunakan komputer, dengan jarak langkau (line and paragraph spacing) 1.5 - tidak termasuk petikan dan nota kaki / footer, berserta font size 11 (Arial), dan menggunakan kertas A4.
  3. Jika penuntut memasukkan ayat/sedikit petikan dari tulisan orang lain, hendaklah dinyatakan nama penulis tersebut.
  4. Rencana hendaklah dihantar dalam TIGA (3) salinan sahaja termasuk salinan asal.
  •  Rencana yang dihantar untuk peraduan adalah tidak dibenarkan untuk diterbitkan kepada mana-mana organisasi atau agensi lain sebelum atau selepas keputusan peraduan diumumkan (hasil tulisan penuntut adalah menjadi hak milik pihak penganjur).
  • Jawatankuasa Peraduan tidak bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan semasa rencana penuntut dalam pengiriman.
  • Panel hakim yang berkelayakan akan dilantik, dan keputusan adalah muktamad.
  • Pihak penganjur berhak menarik balik hadiah yang telah dimenangi jika didapati pemenang melanggar syarat dan peraturan.
  • Keputusan peraduan dan sesi penyampaian hadiah akan dimaklumkan kemudian pada Majlis Air Sedunia 2015 dalam bulan Mei 2015.

Tarikh akhir menghantar rencana kamu kepada cikgu adalah pada 16 April 2015 (Khamis).
* Sila pastikan kamu menulis nama, tahun dan nama sekolah dalam kertas rencana yang dihantar. Pastikan juga ejaan adalah betul :)

Sekian untuk makluman semua.
Cg.Linn (Publish 13/4/2015)